KUALA LUMPUR: Seorang juara wanita negara baharu akan dinobatkan pada Kejohanan Skuasy Kebangsaan edisi ke-38 selepas naib juara Kejohanan Remaja Dunia 2023, Aira Azman dan Noor Ainaa Amani Ampandi bertemu buat julung kali di pentas final hari ini.

Selepas ketinggalan dua set, Aina, 21, mencipta kejutan apabila bangkit untuk menyingkirkan pilihan pertama Rachel Arnold, 9-11, 2-11, 11-4, 11-6, 11-7, pada aksi separuh akhir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, di sini, pada Sabtu.

"Rachel seorang pemain yang pantas, jadi saya terpaksa menyesuaikan strategi permainan dan ia ternyata berjaya. Ketika berdepan Aira di final, walaupun dia pemain muda, rankingnya yang lebih tinggi tetapi akan cuba memberi tentangan sengit," kata Ainaa.

Dalam pada itru, Aira, 19, hanya memerlukan masa 14 minit untuk melangkah final apabila dengan mudah menewaskan Yee Xin Ying 11-9, 11-1, 11-2.

Pemain nombor 60 dunia itu berikrar untuk memberikan segalanya dan berusaha untuk merangkul gelaran kebangsaan sulungnya.

"Saya tidak menjangka akan mara ke final memandangkan baru pulang daripada Kejohanan Remaja Dunia di Melbourne, Australia. Saya masih merasakan kesan daripada jadual padat, namun saya tetap berazam memperagakan aksi terbaik," kata Aira.

Sementara itu, aksi final saingan Divisyen Premier lelaki akan menyaksikan pertembungan antara pilihan utama, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar dan pilihan kedua Ivan Yuen.

Muhammad Addeen bangkit daripada ketingalan set pertama sebelum menumpaskan Ong Sai Hung 9-11, 11-5, 11-7, 11-7 manakala Ivan terpaksa bekerja keras sebelum mengalahkan pemain muda, C. Ameeshenraj 17-15, 11-8, 11-13, 11-6 pada aksi separuh.

-- BERNAMA